Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Deepavali peringkat negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Negeri tekad pastikan rakyat dapat teruskan kehidupan selepas pandemik

KLANG, 22 OKT: Kerajaan Negeri tekad memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan selepas berdepan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pengalaman berdepan dengan wabak itu banyak memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk pentadbiran negeri.

“Ketika pandemik Covid-19, kita diingatkan kita jaga kita. Ini bermakna kita mempunyai pelan, tanggungjawab dan tugas supaya memastikan kehidupan lebih baik dan bahagia.

“Ia sekali gus membolehkan negeri dipacu serta masyarakat menikmati hasilnya,” Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada sambutan Deepavali peringkat negeri di Jalan Tengku Kelana di sini malam ini.

“Walaupun mengandungi seribu kepahitan dan kepayahan, Kerajaan Negeri bangkit dengan memikirkan polisi mesra alam dan mengambil kira pandangan semua pihak supaya tiada sesiapa ketinggalan.

“Contohnya, vaksin kita cuba memastikan semua rakyat divaksin bagi memastikan penyakit ini dapat dicegah. Terima kasih kepada seluruh rakyat dan pentadbiran Kerajaan Negeri yang telah beri komitmen sepenuhnya sehingga berjaya memasuki fasa endemik.”

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkenan merasmikan sambutan Deepavali peringkat negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke sambutan yang dihadiri lebih 1,000 masyarakat India.

Sambutan malam ini dirai pertama kali selepas dua tahun tidak dapat disambut susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menerusi sambutan tersebut, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Terletak di Bandar Klang Selatan, Jalan Tengku Kelana atau dikenali sebagai Little India Klang merupakan kawasan membeli-belah popular setiap kali menjelangnya Deepavali.

Premis di lokasi ini menjual pelbagai barangan untuk kegunaan kaum india seperti sari, tekstil, barangan logam, barang kemas, rempah ratus dan makanan tradisi.

Orang ramai hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :