Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Pelan pembangunan negeri jadikan Selangor berdaya huni

KLANG, 23 OKT: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan pelan dalam membentuk Selangor menjadi berdaya huni, makmur sekali gus ke arah negeri pintar.

Dato’ Menteri Besar berkata rancangan dibentang pada 27 Julai lalu mengambil kira pelbagai kertas dasar melibatkan pembangunan perindustrian negeri, rancangan struktur Selangor sehingga pelan tindakan membina negeri pintar menjelang 2025.

“Kita juga merangka pelbagai rancangan lain termasuk berkaitan sosial dan perpaduan yang dibentuk pentadbiran Kerajaan Negeri supaya kemakmuran ekonomi dapat dinikmati.

“Malah, dalam memastikan Selangor berdaya saing, kita merancang beberapa pelan wilayah di samping menumpukan sektor pelancongan dan kelestarian alam supaya hidup dengan aman seperti penanaman lebih 11 juta pokok menjelang 2026 serta mengekalkan 30 peratus hutan simpan.

“Selain itu, RS-1 juga menggariskan beberapa langkah supaya keadaan sosial dan masyarakat dapat dibentuk dengan baik menerusi perpaduan serta memastikan mereka terpinggir diberi perhatian termasuk masyarakat India,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Deepavali peringkat negeri di Jalan Tengku Kelana di sini malam tadi.

RS-1 dibentangkan Amirudin mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Menurutnya, usaha negeri itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Menerusi pembangunan RS-1, empat teras strategik iaitu pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus.


Pengarang :