Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pembangunan Selangor Selatan jamin ekonomi meluas, peluang kerja

SEPANG, 30 OKT: Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) melibatkan Sepang dan Kuala Langat bakal menjadi penguja ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu menjamin ekonomi meluas dan peluang pekerjaan selain membantu berdepan ramalan kemelesetan ekonomi tahun depan.

“Wilayah pembangunan bersepadu ini meliputi pembinaan kawasan perumahan, komersial, peranginan, pelancongan dan industri.

“Ada tujuh projek berimpak tinggi antaranya taman perindustrian pintar, taman aeroangkasa Selangor dan Goldcoast. Kunci penting pembangunan ialah pelabuhan ketiga di Pulau Carey,” katanya pada sidang media selepas melancarkan IDRISS sempena Jelajah Selangor Penyayang di sini, hari ini.

Beliau berkata EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dilantik mengetuai misi menggalakkan aktiviti pelaburan berimpak tinggi manakala Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengendalikan pembangunan tersebut.

“Beberapa projek yang lulus akan dijalankan tahun hadapan. Selepas kita bentang RS-1, ada syarikat menunjukkan minat dan mulakan perbincangan.

“Ini menjadikan projek pembangunan melibatkan tanah lebih luas daripada 40,000 ekar meningkat kepada 41,000,” katanya.

Pada Julai, ketika pembentangan RS-1, Amirudin memaklumkan Sepang dan Kuala Langat bakal menerima tempias ekonomi menerusi IDRISS yang dianggarkan bernilai RM1 trilion.

Dua daerah tersebut dikenal pasti bagi pembangunan berasaskan wilayah untuk memastikan pengagihan saksama bagi aktiviti ekonomi di negeri ini.

Pembangunan pelaburan swasta bersepadu di dua daerah itu disokong penyediaan kelengkapan oleh negeri yang turut menyediakan insentif bersama kerajaan pusat.


Pengarang :