Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Permohonan skim insurans percuma diperkemas, permudah rakyat daftar

SABAK BERNAM, 16 OKT: Permohonan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) akan diperkemaskan bagi memudahkan orang ramai membuat pendaftaran, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sedang giat melatih kakitangan untuk membantu penduduk mendaftar selain bakal menggerakkan pasukan ke seluruh negeri.

“Setakat ini pendaftaran sangat baik dan masih ada masa panjang untuk memohon. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dan kita akan perkemaskannya.

“Semua penduduk wajar mendaftar dan juga boleh pergi ke pusat khidmat atau ketua kampung. Insurans ini ditanggung sepenuhnya dan Selangor satu-satunya negeri yang mampu melindungi rakyat,” katanya ditemui di Jelajah Selangor Penyayang daerah Sabak Bernam.

Amirudin mengumumkan inisiatif itu ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri pada 30 Ogos lepas, sebagai langkah meringankan beban mereka yang dihimpit masalah seawal usia 30 hari hingga 80 tahun.

Syarat kelayakan bagi menyertai program skim insurans percuma ini adalah nombor kad pengenalan atau alamat didaftarkan serta pengundi di negeri ini.

Setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis, yang dijangka memanfaatkan enam juta rakyat Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar hingga 30 September 2023, dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.wavpay.net.


Pengarang :