Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sungai Chinchin, Gombak pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Peruntuk RM7 juta bangun semula Masjid Kampung Sungai Chinchin

GOMBAK, 28 OKT: Sejumlah RM7 juta diperuntuk bagi pembangunan semula Masjid Kampung Sungai Chinchin di sini, yang dijangka bermula awal tahun depan.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun  berkata perbelanjaan tersebut akan dimasukkan dalam Belanjawan Selangor 2023 sebelum diluluskan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Insya-Allah jika tiada aral melintang dan mendapat kelulusan Ahli Dewan Negeri (ADN) secara keseluruhan, kita akan mula naik taraf atau tambah nilai masjid ini.

“Projek ini dijangka bermula Januari atau Februari, segalanya kita urus dengan baik daripada segi pelan bangunan, kelulusan kebenaran merancang dan perkara lain yang berkaitan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap sempena program ziarah muhibbah ke Kampung Sungai Chinchin hari ini, Amirudin berkata institusi seperti masjid dan surau perlu terus dimakmurkan kerana menjadi tempat pertemuan umat Islam.

“Sebab itu dari semasa ke semasa kita sentiasa bincang dan lihat apa yang boleh dilaksanakan terhadap institusi penting ini. Kita makmurkan dengan menyediakan kemudahan selesa selain menepati isu keselamatan,” katanya.

Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ditangguh sebelum ini dijadual bermula 23 November, termasuk Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan dua hari kemudian.

Dalam surat pemberitahuan, Pejabat DNS memaklumkan dewan dijadual bersidang hingga 6 Disember, manakala belanjawan dibentang pada 25 November.

Sementara itu, penduduk Ibrahim Bidin, 62, berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan dana munasabah untuk menambah baik masjid terbabit.

Anak jati kampung berkenaan mengakui institusi bertapak sejak 1968 perlu dinaik taraf bagi menampung jumlah penduduk di penempatan itu yang kini mencecah 5,000 orang.

“Diharap pembinaan masjid baharu dapat memuatkan lebih ramai jemaah yang sebelum ini dianggarkan sekitar 200 hingga 300 orang,” katanya.


Pengarang :