Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas majlis penyerahan bantuan sekolah agama rakyat berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

MB: Proses pemutihan tahfiz, sekolah agama tidak berdaftar di peringkat akhir

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 18 OKT: Proses pemutihan institusi tahfiz dan sekolah agama tidak berdaftar di Selangor berada pada peringkat akhir, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses itu membabitkan pelbagai peringkat bagi memastikan institusi berkaitan layak beroperasi dengan mematuhi pelbagai aspek termasuk kemudahan asas dan kurikulum.

“Ini juga selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Sekolah tahfiz ini perlu mempunyai kemudahan asas lengkap. Kita mengambil pengajaran daripada insiden yang berlaku di Kuala Lumpur berikutan kurangnya faktor keselamatan nyawa terkorban.

“Hal itu (keselamatan) kita titik beratkan justeru proses memutihkan dan mendaftar kini di peringkat akhir yang mana sebelum ini terganggu akibat pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Selangor 2022 di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini menitahkan semua sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pelbagai faktor menyumbang kepada kegagalan institusi terbabit untuk mendaftar termasuklah isu tanah dan pematuhan syarat bangunan.


Pengarang :