Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shahri meletakan obor ketika merasmikan Majlis pembukaan Karnival Sukan Seksem ke-8 2022 di Stadium Panasonic, Shah Alam pada 25 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB rasmi sukan SUK, libatkan hampir 2,000 atlet dari 12 kontinjen

SHAH ALAM, 26 OKT: Hampir 2,000 atlet serta pegawai daripada 12 kontinjen menyertai Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri SeMalaysia (SUKSEM) edisi kelapan bermula semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sepanjang lima hari peserta akan bersaing 10 acara sukan antaranya bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring dan bola tampar.

“Hasrat utama SUKSEM bukanlah hanya bertanding namun lebih utama untuk membina jaringan kenalan dan rangkaian bagi menambah baik perkhidmatan kerajaan.

“Wadah ini juga untuk melihat amalan terbaik pengurusan pasukan dan kejohanan selain SUKSEM memberi peluang kepada atlet berkhidmat di pejabat SUK untuk menunjukkan bakat,” katanya merasmikan kejohanan di Stadium Panasonic malam tadi.

Beliau yang pernah menjadi EXCO sukan berkata menerusi aktiviti sukan, masyarakat turut dididik erti kemanusiaan serta menghormati antara satu sama lain.

“Pertandingan bukanlah segala-galanya. Baru-baru ini tular di media sosial kisah jurulatih badminton negara Hendrawan memberikan kasutnya kepada Samuel Ricketts ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 supaya pemain Jamaica itu boleh meneruskan permainan.

“Tindakan Siti Shazwana Ajak ketika Sukan SEA Vietnam juga boleh dijadikan contoh apabila pesilat negara itu melindungi dan menutup aurat rambut lawannya yang tercabut tudung,” katanya.

SUKSEM kali ini yang tertangguh sejak dua tahun lalu akibat penularan Covid-19 menjadi penganjuran julung kali di Selangor.


Pengarang :