Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari melihat reruai pameran selepas merasmikan Pembukaan Persidangan Pernigaan Keluarga 2022 Asia Pasifik yang ke – 2 di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 18 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB saran agensi berkaitan bantu perkasa usahawan syarikat keluarga

PETALING JAYA, 18 OKT: Dato’ Menteri Besar menyeru agensi Kerajaan Negeri membantu usahawan syarikat keluarga agar perniagaan mereka lebih berdaya maju dan mampan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keterlibatan agensi berkaitan juga dapat membantu usahawan berkenaan mengurangkan risiko kegagalan dalam perniagaan.

“Ada beberapa faktor perlu diberi perhatian antaranya mekanisme dan sistem sokongan untuk pengurusan sumber dan risiko, pencegahan atau mengurangkan kegagalan perniagaan, meningkatkan tadbir urus keluarga dan pemilikan yang berjaya dan pemindahan kekayaan antara generasi.

“Ini adalah faktor kejayaan kritikal yang harus diperkukuh yang memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, universiti dan komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Syarikat Keluarga Asia Pasifik kali Ke-2 di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari berucap sempena pembukaan Persidangan Perniagaan Keluarga 2022 Asia Pasifik kali kedua di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 18 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika ditemui selepas merasmikan persidangan berkenaan, Amirudin menambah syarikat perniagaan keluarga juga berperanan penting menyumbang kepada ekonomi negeri tanpa mengabaikan aspek kelestarian seiring matlamat pembangunan mampan (SDG).

Beliau juga yakin kejayaan usahawan berkenaan mampu memberi keseimbangan dan keselesaan dalam kehidupan masyarakat.

Disertai lebih 200 usahawan keluarga dari pelbagai sektor, persidangan anjuran BinaPavo secara hibrid itu turut menerima penyertaan dari Indonesia, Filipina dan Sepanyol.

Persidangan kali pertama pada Ogos tahun lalu berlangsung sepenuhnya secara maya dihadiri kira-kira 200 peserta.

 


Pengarang :