Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena pelancaran Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang 2030 di Galeri Batu Arang, Gombak pada 21 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sasar dua juta rakyat dilindungi skim insurans percuma menjelang akhir tahun

RAWANG, 21 OKT: Seramai dua juta penduduk negeri ini disasar dilindungi Skim Insurans Am Selangor (Insan) menjelang akhir tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah tersebut mampu dicapai berdasarkan pendaftaran direkod setakat ini mencecah 40,000 orang sejak skim insurans percuma dibuka 1 Oktober.

“Pendaftaran setakat ini agak baik iaitu hampir 40,000. (Pada awalnya) kita sasar sehari 1,000 mendaftar, ini bermakna sekarang sudah lebih 2,000 orang mendaftar sehari walaupun ia belum betul-betul dilancarkan.

“Skim ini akan dilancar sepenuhnya ketika Jelajah Selangor Penyayang (JSP) Klang yang berlangsung mulai esok,” katanya ditemui selepas merasmikan publisiti dan penyertaan awam draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Batu Arang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata skim insurans percuma yang ditawar kepada individu berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Insya-Allah, Belanjawan Selangor 2023 nanti kita akan turut menawarkan sesuatu dalam program Insan. Kita akan naik taraf berdasarkan maklum balas awal diterima daripada penduduk,” katanya.

Pada 30 Ogos, Amirudin mengumumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima Insan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Syarat kelayakan bagi menyertai program skim insurans percuma ini hanya nombor kad pengenalan atau alamat didaftarkan serta pengundi di Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net.

 


Pengarang :