Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkenan melawat reruai KPJ Specialist Hospital selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Sidang niaga bantu pulih, rangsang semula ekonomi negeri

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 membantu merangsang semula ekonomi negeri termasuk Malaysia dan Asean.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor juga mendahului usaha pemulihan ekonomi melalui penganjuran persidangan yang memasuki edisi keenam.

“Pakar masih menganggap Asean berpotensi besar untuk menerajui pemulihan ekonomi serantau kerana mempunyai asas kukuh dan kemajuan integrasi ekonomi yang konsisten antara dalam dan luar rantau.

“Oleh itu, kita (Selangor) mendahului dengan mengadakan SIBS untuk memudahkan penciptaan semula ekonomi negeri termasuk Malaysia dan Asean,” katanya dalam sembah ucapan perasmian SIBS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan dihadiri EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Asean berpeluang merampas semula kedudukan destinasi perdagangan dan pelaburan utama dunia berdasarkan prestasi sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Beliau memaklumkan prestasi perdagangan Malaysia dan negara Asean juga meningkat 43.6 peratus kepada RM514.73 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu berdasarkan data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Eksport ke Asean meningkat 38.1 peratus manakala import melonjak 51.5 peratus dalam tempoh sama. Pada Ogos sahaja, perdagangan Asean ybernilai RM70.9 bilion menyumbang 26.7 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

“Sesungguhnya, Asean adalah adalah rakan dagangan utama kita dan Selangor menawarkan bantuan untuk menembusi pasaran,” katanya.


Pengarang :