SABAK BERNAM, 14 OKT: Kenyataan setiausaha sulit Sultan Selangor semalam selari dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan beliau, kata Dato’ Menteri Besar.
“Tidak timbul isu sebab kalau kita bandingkan dengan kenyataan saya yang rasmi dengan kenyataan dikeluarkan istana (pada 13 Oktober),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di sini hari ini.
“Sebenarnya setiausaha sulit (Sultan Selangor) berkata kenyataan dikeluarkan adalah untuk menjelaskan beberapa laporan yang mengelirukan.”
Beliau menjelaskan kenyataan Dato’ Muhamad Munir Bani yang menyebut sesi menghadap Dato’ Menteri Besar dengan Sultan Selangor tidak membangkitkan permintaan pembubaran DUN.
“Sebenarnya pada 11 Oktober 2022 yang lalu, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor tidak membuat permintaan kepada DYMM Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri pada tahun ini dan berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri,” kata Muhamad Munir.
Sementara Amirudin pula, selepas menyembah maklum hasrat meneruskan pentadbiran, mengeluarkan kenyataan: “DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.”
Ketika ditanya hari ini, beliau berkata Tuanku mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pengurusan bencana.
“Kami bincang banyak perkara (ketika sesi menghadap) terutama Tuanku menyaran beberapa usaha untuk mengatasi isu banjir dan projek seperti pengurusan stadium dan perkara-perkara lain,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian surat kelulusan pemberimilikan tanah Parit 8 1/2 Barat, Mukim Sabak di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin di sini.