Enam juta rakyat Selangor berusia 30 hari ke 80 tahun bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan menerusi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN). Grafik Selangorkini
AGENDANASIONAL

MBI: 34,174 penduduk dilindungi skim insurans percuma serta-merta

SHAH ALAM, 19 OKT: Seramai 34,174 penduduk dilindungi Skim Insurans Am Selangor (INSAN) serta-merta oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI setakat ini.

Ketua Jabatan Strategi Korporatnya Raja Nor Izah Raja Jaafar berkata sambutan amat menggalakkan dengan 39,886 permohonan diterima sejak skim insurans percuma itu dibuka pada 1 Oktober.

“Skim ini diluluskan serta-merta apabila permohonan layak dan setakat ini hampir 40,000 pemohonan dibuat menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.

“Permohonan yang tidak lulus mungkin disebabkan pemohon bukan berasal dan pengundi dari Selangor atau mengalami masalah teknikal. Namun, setakat ini, permohonan dibuka sejak 1 Oktober amat menggalakkan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan wakil rakyat di kawasan masing-masing khususnya kawasan pedalaman membantu penduduk yang kurang arif teknologi untuk memohon.

Pada 30 Ogos, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima INSAN dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, syarat kelayakan bagi menyertai program skim insurans percuma ini hanya nombor kad pengenalan atau alamat didaftarkan serta pengundi di Selangor.

INSAN yang menawarkan perlindungan insurans am berkumpulan kepada individu berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net


Pengarang :