Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura RM10,000 kepada Pengerusi Masjid Dato’ Dagang Norasikin Selamat dalam Program Ramah Mesra Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penggerak Masjid Daerah Klang sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI belanja RM40,000 penuhi keperluan sekolah, masjid dan surau di Klang

KLANG, 22 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM40,000 bagi memenuhi keperluan beberapa sekolah, masjid dan surau di daerah ini sempena Jelajah Selangor Penyayang.

Dato’ Menteri Besar berkata dana menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBI membantu meringankan beban institusi berkaitan untuk menambah baik kemudahan sedia ada demi keselesaan orang ramai.

“Misalnya (prasarana) sekolah merupakan isu yang agak besar di Selangor dengan rata-rata sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan memerlukan suntikan dana daripada Kerajaan Negeri.

“Oleh sebab itu, tahun ini Kerajaan Negeri peruntukkan RM1 juta daripada RM26 juta untuk diberikan kepada sekolah, tetapi jumlahnya tidak besar. Jadi melalui sumbangan CSR MBI bolehlah kita menyumbang antara RM5,000 hingga RM10,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek cura bantuan sempena program bersama penggerak masjid daerah Klang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penerima sumbangan dalam Program Ramah Mesra Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penggerak Masjid Daerah Klang sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Bukit Kuda menerima RM10,000 manakala SMK Batu Unjur (RM5,000).

Masjid Al-Muhsinin, Sungai Kandis pula memperoleh bantuan pengubahsuaian van biasa kepada van jenazah bernilai RM10,000 dan Masjid Kampung Dato’ Dagang mendapat bantuan khas Menteri Besar dengan amaun sama.

Sementara itu, Surau Nurul Iman, Kota Raja pula menerima sumbangan baik pulih infrastruktur berjumlah RM5,000.


Pengarang :