Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu terletak di Jalan Syed Masyor, Kampung Tun Abdul Razak di Kuala Kubu Bharu. Foto Facebook Persatuan Sejarah Kuala Kubu Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI belanja RM80,000 baik pulih Galeri Sejarah di Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 2 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM80,000 bagi membaik pulih Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata kerja mencantikkan ruang dalaman galeri terbabit giat dilaksana sejak dimulakan awal tahun.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Seperti sedia maklum, Kuala Kubu Bharu merupakan pekan pertama dibina seorang perancang bandar semasa zaman British. Oleh sebab itu pekan ini agak unik dan tersusun sehingga menambat hati saya untuk membantu menaikkan nama.

“Perbincangan untuk melaksanakan projek ini sebenarnya bermula sejak tahun lepas sebelum peruntukan diluluskan awal tahun ini. Insya-Allah kita akan buat mini perasmian apabila kerja baik pulih siap dijangka menjelang akhir tahun,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, beliau berkata kerja menaik taraf galeri berkenaan turut dijayakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) membabitkan fasad luar bangunan.

“Pengisian dalam galeri terbabit seperti artifak dan bahan bersejarah lain akan dicari ahli sejarah tempatan. Kami hanya membantu bagaimana untuk menata hias ruang dalaman supaya menarik perhatian pengunjung.

“Saya percaya inisiatif ini mampu merancakkan industri pelancongan kerana Kuala Kubu Bharu turut menjadi destinasi tumpuan pengayuh basikal. Malah tapak lapang di sebelah galeri ini boleh disewakan kepada orang ramai untuk majlis perkahwinan,” katanya.

Pemandangan Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu di Jalan Syed Masyor, Kampung Tun Abdul Razak di Kuala Kubu Bharu. Foto Persatuan Sejarah Kuala Kubu

Pengarang :