KUALA LUMPUR, 10 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membawa pulang tiga anugerah utama dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS).
MBPJ, KPT Recycle dan Nestle menggondol anugerah dokumentasi terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,500, projek inovasi hibrid terbaik (RM2,000) dan johan inovasi sosial (penambahbaikan) (RM15,000).
Manakala MPAJ memperolehi anugerah persembahan video terbaik (RM1,500), johan inovasi penyampaian perkhidmatan (penambahbaikan) (RM15,000) dan inovasi sosial (penciptaan) (RM15,000).
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula memenangi kategori projek inovasi primer terbaik (RM2,000) dan inovasi penyampaian perkhidmatan (penciptaan) (RM15,000).
Selain wang tunai, pemenang turut membawa pulang piala dan sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim pada Majlis Perasmian Penutupan Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) 2022 semalam.
Pertandingan membabitkan sektor awam di Selangor disertai 29 kumpulan merebut empat kategori utama inovasi sosial (penciptaan), inovasi sosial (penambahbaikan), inovasi penyampaian perkhidmatan (penciptaan) dan inovasi penyampaian perkhidmatan (penambahbaikan).
Turut diadakan Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) 2022 yang disertai 138 kumpulan merebut enam kategori utama iaitu perseorangan, sektor awam (agensi lain), swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan akar umbi.