Gelagat orang ramai yang menyertai larian Fun Run sejauh lima kilometer sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA minta orang ramai manfaatkan insentif diskaun kompaun

SHAH ALAM, 16 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyaran orang ramai memanfaatkan insentif diskaun kompaun sebanyak 70 peratus yang berbaki kira-kira dua minggu.

Timbalan Datuk Bandarnya berkata MBSA turut menawarkan pengurangan kompaun letak kenderaan sebanyak RM10 sejak awal bulan ini hingga 31 Oktober sempena sambutan ulang tahun ke-22 bandar raya itu.

“Saya minta seluruh penduduk Shah Alam yang mempunyai tunggakan kompaun terpilih dan parkir supaya ambil peluang untuk menjelaskannya sepanjang bulan ini.

“Kita buka tawaran sempena ulang tahun bandar raya demi menghargai penduduk yang mungkin berdepan kekangan kewangan,” kata Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau ditemui pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi.

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata pihaknya mengadakan jelajah bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dari setiap zon semalam bagi menghebahkan kempen pengurangan kompaun terbabit.

“Alhamdulillah setakat ini sambutan menggalakkan, ramai yang ambil peluang membayar kompaun tertunggak. Diharap peluang keemasan ini tidak disia-siakan,” katanya.

Selain diskaun kompaun, pihak berkuasa tempatan turut menawarkan insentif penggunaan kemudahan secara percuma pada tarikh tertentu sempena ulang tahun bandar raya berkenaan.

MBSA juga menawarkan tempat letak kereta percuma di Bangunan Wisma MBSA dan Hab Seksyen 19 pada 11 Oktober termasuk sewaan dewan serbaguna serta gelanggang MBSA bagi aktiviti sukan pada 10 Oktober.

Promosi keahlian percuma Perpustakaan MBSA juga ditawarkan sepanjang bulan ini.


Pengarang :