Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA sedia RM30 juta laksana projek tebatan bah fasa pertama

SHAH ALAM, 11 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntuk RM30 juta untuk melaksanakan projek tebatan banjir fasa pertama bermula Januari tahun depan di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Datuk Bandar memaklumkan projek tersebut meliputi naik taraf sistem perparitan di Taman Sri Muda, pembinaan sebuah pam dan pembaikan infrastruktur sekitar Seksyen 25.

Menurut Mohd Rashidi Ruslan, kerja lain termasuk pembinaan tembok di tebing dari Bulatan Aman ke kunci air di Jalan Srikandi, Jalan Muhibbah dan Jalan Bakti.

“Setakat ini untuk persediaan banjir, sejak awal tahun ini kita sudah menyewa pam air sementara di setiap lokasi yang dinyatakan,” katanya di Wisma MBSA hari ini.

“Bagi fasa kedua projek tebatan banjir, MBSA juga peruntuk RM30 juta dalam Bajet 2023 antaranya projek pelan induk saliran. Secara keseluruhan, MBSA peruntuk RM60 juta bagi menangani banjir.”

Bercakap kepada media selepas pembentangan Bajet 2023 bertemakan Shah Alam Lestari dan Tahan Uji, jelasnya, sebanyak 46 pusat pemindahan sementara (PPS) sedia diaktifkan jika bah hujung tahun ini.

Mohd Rashidi menjelaskan pihaknya turut bekerjasama dengan pengerusi bencana dua daerah iaitu Petaling dan Klang bagi menyelaras lokasi pemindahan.

“Antara PPS dimaklumkan dibuka di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran yang menjadi pusat berskala besar dan bersedia dengan kemungkinan banjir,” katanya lagi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :