Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan MBSJ Mohd Taufik Daud (kiri) bersama kakitangan MBSJ menunjukkan alat kawalan jauh bagi mengawal lampu isyarat ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ cipta alat kawal lampu isyarat, mudahkan laluan kecemasan ambulans

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mencipta alat kawalan jauh menukar lampu isyarat bagi memudahkan laluan ambulans, polis dan bomba sekiranya dalam situasi kecemasan.

Penolong pengarah kanan jabatan kejuruteraannya berkata alat KJAP 4 Traffic Light juga mampu mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa anggota trafik yang bertugas mengawal laluan di persimpangan lampu isyarat.

Jelas Mohd Taufik Daud alat berkenaan merupakan projek inovasi pertama di negara ini dan tidak meniru mana-mana produk lain di pasaran.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Mohd Taufik Daud

“Alat ini memberi keutamaan kepada fasa laluan yang memerlukan kelancaran aliran trafik. Jika ambulan, polis atau bomba di arah bertentangan, alat ini boleh menukarkan warna hijau supaya kenderaan itu ada laluan.

“Dengan adanya alat ini, polis trafik tidak lagi perlu berada di tengah jalan. Kawalan boleh dibuat dalam jarak 1.6 kilometer dan ini mengurangkan risiko terhadap anggota berkenaan,” katanya ditemui di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 semalam.

Menurut Mohd Taufik, alat terbabit sudah dipasang di 56 lampu isyarat sekitar kawasan pentadbiran MBSJ sejak setahun lalu.

“Kita akan pasang secara berperingkat untuk lebih 200 lampu isyarat lain. Setakat ini ia mampu mengurangkan kemalangan malah turut mendapat maklum balas positif pihak berkuasa tempatan lain,” katanya.

Pengunjung melawat pelbagai gerai pameran ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

SIBS berlangsung mulai Khamis hingga hari ini menyasarkan 30,000 pengunjung dan setakat dua hari penganjurannya sejumlah RM1.12 bilion nilai transaksi berjaya diperoleh.

Tahun ini persidangan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Progam Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.

Pengujung mendengar penerangan kakitangan UMW Berhad berkaitan sistem selaput bioreaktor ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :