Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berucap ketika bengkel pelan strategik operasi bantuan bencana sebagai persiapan menghadapi monsun Timur Laut 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ, USJ 7, Subang Jaya pada 5 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ pasang enam lagi sistem amaran awal di kawasan berisiko bah

SUBANG JAYA, 5 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memasang enam lagi sistem amaran awal banjir di kawasan parit dan sungai yang berpotensi dinaiki air susulan peralihan monsun timur laut.

Menurut Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar, kerja pemasangan teknologi amaran bencana giat dilaksana dengan jangkaan selesai dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini kita sudah memasang empat sistem amaran banjir di lokasi titik panas melalui pemantauan pusat kawalan operasi bencana MBSJ. Dengan tambahan ini menjadikan keseluruhannya 10.

“Sekiranya paras air sungai naik, kita dapat maklumkan kepada penduduk lebih awal supaya mereka buat persediaan berpindah dari tempat terbabit,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas bengkel operasi bantuan bencana di Dewan Serbaguna MBSJ di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Mazlan Wan Mamat.

Dalam pada itu, Johary menjelaskan sistem berkenaan akan mengeluarkan amaran berjaga-jaga sekiranya air parit atau sungai mencapai paras dua per tiga.

Menurutnya, teknologi itu turut memberi makluman kepada pusat kawalan sekiranya air parit atau longkang surut yang menandakan kawasan terbabit selamat.

“Contohnya semalam berlaku kejadian hujan lebat di IOI Puchong, jadi status sistem amaran awal banjir merekodkan paras semasa air parit,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter (mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.


Pengarang :