Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Program Iltizam Prihatin MBSJ pada 27 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ sedia 200 bakul makanan, bantuan awal kepada mangsa bencana

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SUBANG JAYA, 27 OKT: Sebanyak 200 bakul makanan disediakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai bantuan awal kepada penduduk yang ditimpa bencana.

Datuk Bandar MBSJ berkata bakul makanan itu meliputi gula, sardin, krimer manis, teh uncang, biskut, mi segera, air kotak dan air mineral dengan nilai keseluruhan RM10,000.

“Inisiatif melalui Program Iltizam Prihatin MBSJ itu sebagai bantuan awal kepada penduduk yang terlibat dalam sebarang bencana bukan hanya banjir tetapi kebakaran dan bencana lain.

“Ia dijayakan secara tanggungjawab sosial korporat bersama syarikat Best Marketing & Distribution Sdn Bhd yang menyumbang sebanyak 50 karton air mineral dan barang keperluan lain selain memberikan potongan harga istimewa terhadap pembelian barangan.

“Keprihatinan syarikat korporat tampil menyokong usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk amat dihargai dan diharap ia menjadi galakan kepada syarikat lain untuk turut menyumbang,” kata Datuk Johary Anuar pada sidang media selepas melancarkan Program Iltizam Prihatin MBSJ di sini, hari ini.

Terdahulu, Johary mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ Bil. 10/2022.

Katanya ketika bencana banjir pada Disember tahun lalu sebanyak 13 kampung tradisi dan dua taman perumahan terkesan.

“MBSJ akan terus komited membantu meringankan beban dengan menyalurkan bantuan kepada komuniti terjejas,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya menerusi Program Iltizam Prihatin MBSJ, Tabung Sumbangan Iltizam Prihatin MBSJ (Maybank: 562366652566) juga ditubuhkan bagi memudahkan syarikat korporat serta pihak yang ingin menyumbang sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada penduduk di kawasan pentadbiran MBSJ.


Pengarang :