Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berucap ketika bengkel pelan strategik operasi bantuan bencana sebagai persiapan menghadapi monsun Timur Laut 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ, Subang Jaya pada 5 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ tambah anggota skuad Pantas, siap sedia hadapi bencana

SUBANG JAYA, 5 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menambah 30 anggota penguat kuasa ke dalam skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir susulan peralihan monsun timur laut.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata tambahan anggota itu menjadikan keseluruhan 65 pegawai yang sedia digerakkan pada bila-bila masa sepanjang tempoh terbabit.

“Kesemua anggota Skuad Pantas sudah menjalani latihan simulasi bersama pengurusan bencana menyelamat di air baru-baru ini dan mereka akan diturunkan ke lapangan sekiranya berlaku bencana.

“Bagaimanapun operasi bantuan bencana tidak melibatkan skuad ini sahaja sebaliknya turut dibantu anggota keselamatan lain bergantung kepada sejauh mana impak bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bengkel operasi bantuan bencana di Dewan Serbaguna MBSJ di sini yang disertai 150 individu membabitkan wakil komuniti, anggota badan beruniform dan badan kerajaan.

Mengulas persediaan daripada segi aset, Johary berkata pihaknya sudah memeriksa dan memperkemas enam pacuan empat roda, lori pengangkut (tiga), bas (satu), van (dua), jengkaut (dua), lori Roll on Roll Off (enam) serta sky lift (satu).

“Kita juga menyediakan lima bot penyelamat iaitu masing-masing satu bot enjin inflatable dan aluminium manakala tiga lagi bot aluminium tanpa enjin,” katanya.

Pada 28 September lalu, Kerajaan Selangor menganjurkan program simulasi bencana yang menekankan aspek komunikasi antara agensi bagi melancarkan operasi menyelamat jika berlaku banjir akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu turut menyemak dan mengemas kini tatacara operasi piawai (SOP) menyelamat selaras ketetapan Majlis Keselamatan Negara.

Seramai 343 peserta membabitkan 67 agensi terlibat dalam program itu bagi memastikan semua pihak bersiap sedia daripada segi perkhidmatan, peralatan dan aset.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter (mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.


Pengarang :