Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendengar taklimat penanaman ganja ketika melawat Siam Cannabis Land di Bangkok pada 24 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Kanabis boleh didaftar sebagai ubat jika ada bukti berkesan

SERDANG, 17 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka pendaftaran bagi ubat berasaskan kanabis jika terdapat bukti kukuh bahan itu boleh digunakan dengan selamat dan berkesan dalam merawat pesakit, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Pusat Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Institut Kesihatan Kebangsaan sedang mengadakan semakan dan perbincangan bersama pakar-pakar terutamanya dalam bidang ekologi dan rawatan paliatif.

“Ia turut melibatkan pakar dalam perkhidmatan yang memberi rawatan untuk keadaan tertentu seperti epilepsi dan mereka sedang semak data dari negara luar dari segi keberkesanan dan keselamatan penggunaan kanabis dalam kondisi (penyakit) tertentu.

“Sekiranya semakan pakar mendapati bahawa ada bukti kukuh kanabis boleh digunakan selamat dan berkesan, maka kita boleh buka untuk pendaftaran bagi indikasi (penggunaan untuk rawatan penyakit tertentu) itu,” katanya pada sidang media selepas majlis serahan Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, hari ini.

Khairy berkata adalah penting untuk memastikan pakar tempatan berpuas hati bahawa kanabis memang boleh digunakan untuk kondisi tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan memutuskan pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :