Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (kanan) disertai EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) menandatangani plak perasmian pada Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Kapar, Klang pada 27 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: KKM tumpu naik taraf hospital, klinik kesihatan daif luar bandar

JEMPOL, 8 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menaik taraf serta membaik pulih fasiliti serta Klinik Kesihatan di negara ini yang daif, khususnya di luar bandar.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata sebahagian peruntukan RM36.1 bilion kepada KKM, diumumkan dalam Bajet 2023 akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Khairy berkata menaik taraf fasiliti kesihatan itu penting memandangkan terdapat hospital dan klinik kesihatan daif, malah menjangkaui usia melebihi 50 tahun.

“Saya sendiri turun melawat klinik yang telah dibina sejak tahun 60 hingga 70-an, ada klinik yang lagi tua daripada saya.

“Alhamdulillah, semalam diluluskan untuk KKM menaik taraf fasiliti kesihatan yang daif di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 mengumumkan, KKM antara yang menerima peningkatan peruntukan terbesar dalam Bajet 2023 iaitu sebanyak RM36.1 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, Khairy turut berkata perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya tertumpu kepada perubatan di hospital semata-mata, tetapi juga dalam memastikan langkah-langkah pencegahan penyakit perlu dilaksanakan.

Beliau berkatan negara membelanjakan berbilion ringgit untuk pengoperasian hospital, sedangkan ia lebih baik untuk diberikan kepada usaha mengalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

“Saya yakin satu hari nanti kita dapat membudayakan sebuah Keluarga Malaysia yang sihat sejahtera, dengan hospital lengkap beroperasi, tetapi rakyat kita tidak perlu pergi ke hospital kerana kita kekal sihat,” katanya. – BERNAMA

 


Pengarang :