Pemandangan udara aliran trafik perlahan di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur susulan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam 10 Julai 2022 ketika tinjauan aliran trafik pada 9 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kutipan tol tanpa henti diperkenal pada 2025

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan tersebut telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Beliau berkata dengan pelaksanaan MLFF, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

“Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol mengenai bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.

“Selepas itu, bagaimana kita integrasikan daripada sistem MLFF… kita akan mewujudkan command centre (pusat arahan) diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu integrasi dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media di sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut Fadillah, MLFF merupakan antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 KKR yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.

Selain itu, Fadillah memaklumkan KKR juga telah memulakan proses membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh menjadi punca kesesakan dan kerosakan jalan raya.

Beliau berkata ia bagi mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan terus dikenakan kepada syarikat lori tersebut.

Sementara itu, Fadillah berkata kementeriannya akan memfokuskan isu keselamatan jalan raya seperti yang dibincangkan pada Persidangan Dunia ITS kali ke-28 dari 19 hingga 22 Sept lepas di Los Angeles, Amerika Syarikat.

-BERNAMA


Pengarang :