Pelakon Air Force The Movie, Sangeeta Krishnasamy
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Menu vegetarian Bali, Bangkok jadi hidangan Sangeeta ketika Deepavali

Oleh Intan Syuhada Akhir

Selepas dua tahun terkurung akibat pandemik Covid-19, pelakon jelita Sangeeta Krishnasamy teruja untuk menghidupkan kembali tradisi keluarga iaitu berkongsi hidangan berasas sayuran sempena Deepavali.

Separuh daripada ahli keluarga besarnya merupakan vegetarian. Setiap kali tiba hari pesta cahaya, mereka berkumpul beramai-ramai dengan pelbagai juadah bawaan. Saban tahun, dapat disaksikan kemahiran serta kreativiti masakan sayur yang unik terhidang di atas meja.

“Dalam fahaman keluarga saya, sejak kecil kami merasakan tidak patut bunuh haiwan semasa Deepavali. Perayaan ini meraikan kebaikan yang mengalahkan kejahatan. Jika makan haiwan semasa Deepavali, ia macam bercanggah dengan prinsip itu.

“Sudah menjadi tradisi keluarga kami untuk buat masakan bersama-sama setiap tahun sejak dari zaman nenek lagi. Hidangan kami selalunya masakan vegetarian memandangkan separuh daripada kami memang tidak makan daging.

“Baru-baru ini, saya ke Bali dan Bangkok. Rupanya di sana sudah banyak inovasi masakan vegetarian. Bayangkan Nasi Padang versi vegetarian lengkap sambal, kacang botol memang sedap.

“Manakala di Bangkok pula ada satu kuih yang intinya kerisik kelapa. Jadi untuk hidangan tahun ini, saya tidak buat muruku. Tetapi saya akan bawa hidangan vegetarian dari dua negara ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini baru-baru ini.

Tidak sekadar menjalani gaya hidup seorang vegetarian, Sangeeta turut dilihat aktif mempromosikan kesedaran penjagaan alam sekitar di media sosial rasmi miliknya.

“Betul, saya memang aktif memberi kesedaran pemeliharaan alam sekitar. Bila sudah bergelar pelakon dan mempunyai platform, saya berasa bertanggungjawab untuk berkongsi tentang krisis hari ini.

“Kita sudah berada di suatu keadaan di mana sering banjir, taufan serta lautan yang dipenuhi plastik. Sempena Deepavali ini, saya yakin ramai yang akan keluar beli-belah. Bawalah beg sendiri. Jika mahu beli makanan di luar, bawalah bekas sendiri,” pesannya.

Tahun tuah Sangeeta

Tahun 2022 dianggap sebagai tahun tuah buat gadis berumur 37 tahun ini apabila dua filem lakonannya Juang dan Air Force The Movie mendapat perhatian ramai.

“Saya masih ingat semasa melakonkan watak Leftenan Layla dalam filem Air Force, saya berdiri depan cermin dan menangis. Ia sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.

“Manakala untuk filem Juang, saya memegang watak Santhia yang merupakan seorang pekerja penghantar makanan. Saya tidak pandai bawa motor tapi kita cuba juga untuk jayakan filem ini.

“Saya bangga terlibat dalam filem yang merakamkan kejadian pandemik yang semua orang rasa,” katanya yang juga Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29.

Tidak mengejar populariti dan anugerah, graduan lulusan undang-undang Universiti London itu selesa mencabar diri dengan membawakan watak yang signifikan dalam masyarakat.

“Saya tidak mempunyai sasaran memenangi anugerah. Namun saya mempunyai sasaran untuk membawakan naskhah yang boleh mencerminkan masyarakat yang sebenar. Bila seorang cikgu atau pekerja e-panggilan tengok sesuatu filem, mereka dapat rasa cerita itu adalah tentang dirinya. Perkara itu yang saya cari,” katanya.

Melihat kepada sambutan luar biasa penonton di Malaysia terhadap produk karya tempatan yang kerap tersenarai dalam carta filem laris, Sangeeta melihat ia sebagai perkembangan sihat terhadap industri perfileman negara.

Pelakon itu berharap semoga lebih ramai penerbit yang akan berani membuat pelaburan dengan meneroka lebih banyak genre filem pada masa akan datang.


Pengarang :