Pengundi muda, Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MetMalaysia: Masih terlalu awal ramal cuaca pada tempoh PRU15

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Masih terlalu awal untuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) membuat ramalan cuaca pada tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Arip, berkata corak cuaca tidak boleh ditentukan pada masa ini kerana negara masih berada di Fasa Peralihan Monsun yang bermula 3 Oktober lepas hingga bulan depan.

“Ada 10 hari lagi sebelum penamaan calon pada 5 November ini dan agak sukar untuk kita (MetMalaysia) ramalkan sama ada cuaca baik atau buruk pada masa itu.

“Namun kita akan cuba sebaik mungkin untuk menyampaikan maklumat cuaca dalam tempoh empat atau lima hari sebelum itu,” katanya dalam segmen ‘Ketidaktentuan Cuaca dan Kesan’ program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober lepas menetapkan 5 November sebagai tarikh penamaan calon, 15 November sebagai tarikh pengundian awal dan 19 November sebagai tarikh pengundian.

Mohd Hisham berkata Malaysia dijangka tidak mengalami cuaca luar biasa dalam fasa peralihan monsun dan taburan hujan masih berada di paras normal di kebanyakan negeri setakat bulan ini.

Beliau berkata keadaan cuaca fasa peralihan monsun kebiasaannya bersifat sekejap dengan cuaca cerah di sebelah pagi manakala lebih banyak ribut petir pada sebelah petang.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan maklumat cuaca yang disebarkan oleh netizen dan sebaliknya hanya merujuk kepada MetMalaysia.

Katanya, ini kerana MetMalaysia mempunyai pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih dan tepat.

“Kebanyakan warga maya membuat rujukan kepada sumber yang didakwa boleh dipercayai tetapi maklumat diperoleh tidak lengkap, tidak dikemas kini secara berkala dan membuat ramalan cuaca yang terlalu jauh ke hadapan sesuatu tarikh, justeru agak mengelirukan.

“Oleh itu, saya minta supaya warga maya berhenti daripada menyebarkan maklumat cuaca kurang tepat yang berupaya mencetuskan keadaan panik dalam kalangan orang ramai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :