AGENDASUKANKINI

MFL letak tanda aras baharu, elak isu tunggakan gaji pemain berulang

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah meletakkan penanda aras baharu bagi mengelakkan masalah kebajikan pemain terus berulang pada musim depan, apabila tidak memperbaharui lesen dua pasukan Liga Super.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu dapat mengetengahkan suara pemain untuk didengari, sekali gus menjamin persekitaran yang bebas daripada sebarang bentuk masalah kebajikan, terutamanya tunggakan gaji.

“PFAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL bagi membantu serta membela nasib pemain yang terkesan secara langsung daripada situasi ini (tunggakan gaji).

“Justeru, PFAM berharap semua pihak terus bersama-sama mendukung aspirasi untuk menolak sebarang bentuk penindasan hak terhadap pemain kerana pemain merupakan aset penting yang perlu dibela demi masa depan bola sepak yang lebih cerah,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Melaka United FC dan Sarawak United FC gagal menempah slot untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2023 kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan mengikut Peraturan Pelesenan MFL 2022, dan mempunyai tempoh sehingga sebelum Rabu depan (19 Okt) untuk mengemukakan rayuan.

Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Jun dan Ogos tahun ini.

Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan Kamar Penyelesaian Pertikaian FIFA (DRC) telah membuatkan keputusan terhadap bekas pemain, Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan keputusan yang dibuat oleh First Instance Body (FIB) itu, wajar dipuji kerana kualiti lebih baik daripada kuantiti demi kelancaran penstrukturan baharu Liga Malaysia musim depan.

“Saya lihat tindakan ini memang wajar untuk diambil menunjukkan sendiri ketegasan FIB dan MFL sebab kalau kita biarkan, isu gaji dan sebagainya memang tidak akan habis bahkan akan menganiaya pemain.

“Saya sendiri lebih suka untuk katakan kita perlu mengambil berat kualiti daripada kuantiti dan hanya mereka yang betul-betul layak sahaja beraksi dan jika MFL tidak tegas, saya rasa tiada pasukan yang akan menghormati peraturan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan berasingan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustafa pula mengharapkan keputusan ini akan membuka mata banyak pihak untuk tidak lagi mengambil mudah aspek kewangan pasukan selepas ini, selain lebih bertanggungjawab dalam mencari dana untuk menjaga kelab dengan lebih baik.

“Apa yang berlaku memperlihatkan pengurusan dan modal pasukan dalam melaburkan sumber kewangan merupakan satu risiko, dan ia sesuatu bukan mudah untuk menguruskan kelab,” jelasnya. – BERNAMA


Pengarang :