Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau air laut yang melimpah hingga ke jalan raya berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Monsun timur laut: APM tambah keanggotaan di kawasan berisiko banjir

KUANTAN, 15 OKT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menambah jumlah pegawai dan anggotanya di 554 kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir, sebagai persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Pengarahnya Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata untuk tahun ini, seramai 890 orang akan ditugaskan di semua lokasi terlibat berbanding 600 orang pada tahun lepas, dengan semua mereka perlu mengikuti latihan semula untuk mengasah semula kemahiran.

“Antara yang dijalankan ialah latihan keyakinan dalam air selain pemeriksaan terhadap aset darat dan air mula dilakukan supaya semuanya siap siaga bagi memastikan tugasan menyelamat berjalan lancar,” katanya selepas menghadiri Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi MTL di sini hari ini.

Che Adam berkata setakat ini, 81 unit bot, kenderaan pacuan empat roda (12 buah), ambulan (15 buah) dan sebuah bas diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi banjir di Pahang.

APM juga melaksanakan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan asas teknik menyelamat serta tindakan awal perlu dilakukan kepada orang ramai sementara menunggu kedatangan pasukan penyelamat.

– BERNAMA


Pengarang :