Kakitangan MPKj membantu penduduk membersihkan kesan banjir di sekitar Kampung Batu 10 Cheras dan Kampung Melaka Cheras. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kajang
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKj selaras aset, tenaga kerja depani kemungkinan bah hujung tahun

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

BALAKONG, 5 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersiap siaga menyelaras logistik, aset dan tenaga kerja dalam menghadapi kemungkinan banjir diramal hujung tahun ini.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi melancarkan operasi jika berlaku bencana itu.

Beliau menjelaskan uji cuba secara berkala ke atas semua aset banjir yang dimiliki turut dibuat bagi memastikan ia berfungsi dengan baik apabila diperlukan kelak.

“MPKj juga terlibat dalam simulasi minggu lalu. Latihan menggunakan bot kecemasan turut dibuat bagi memastikan anggota bersiap siaga menghadapi bencana,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Tabung Infrastruktur dan Penyelenggaraan Perindustrian Balakong Jaya di sini hari ini.

Beliau menambah pihaknya akan menyelaras pergerakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menyalurkan bantuan banjir untuk memastikan proses tersebut bersasar dan teratur.

Najmuddin turut mengalu-alukan sumbangan kelengkapan mangsa bah yang praktikal daripada orang ramai seperti selimut, tilam, baju yang bersesuaian selain makanan kering.

“Isunya bukan memilih tetapi biarlah praktikal untuk mangsa banjir kerana melalui pengalaman sebelum ini ada yang tidak bersesuaian dan tidak dapat digunakan. Jika makanan pula, dalam tin lebih praktikal berbanding mentah,” katanya lagi.


Pengarang :