Mandy Cabelle Chen mengibar bendera Selangor selepas menyumbang pingat emas dalam acara wushu taijiquan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 pada 15 Sept 2022. Foto Twitter MSN Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

MSN nilai semula prestasi atlet SUKMA, rombak program pembangunan

SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan menjalankan penilaian semula bagi memperbaiki prestasi kontinjen negeri dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa depan.

Pengarah eksekutifnya berkata prestasi atlet SUKMA 2022 yang berakhir pada 25 September diteliti untuk mengesan kelemahan dalam latihan dan persediaan.

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan banyak acara menyaksikan pasukan negeri ke peringkat akhir tetapi tewas mengakibatkan bilangan sasaran emas tidak tercapai.

“Kita akan buat penilaian semula dan analisis negeri lain yang peroleh pingat lebih dari jangkaan. Adakah faktor prestasi atau teknikal,” katanya pada 27 September.

Mohamad Nizam Marjugi menambah pihaknya juga merancang merombak program pembangunan sukan dan persediaan atlet untuk temasya dwitahunan itu pada 2024.

Beliau menjelaskan negeri juga kehilangan ramai atlet dalam tempoh dua tahun penularan Covid-19 yang menyaksikan mereka tidak dapat beraksi kali ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman pula memuji kesungguhan atlet yang mempamer semangat juang bagi menempatkan Selangor pada kedudukan kelima keseluruhan.

“Walaupun tidak berada pada kelompok tiga terbaik, saya tetap puas hati dengan (pencapaian) atlet kerana mereka sudah buat sehabis baik,” katanya.

Pada temasya berkenaan, Selangor meraih 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa. Kutipan emas itu kurang sembilan berbanding sasaran asal iaitu 40


Pengarang :