Pemandangan air terjun dan hutan belantara di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Musim tengkujuh, lima taman eko rimba ditutup mulai 1 November

SHAH ALAM, 18 OKT: Lima taman eko rimba di negeri ini ditutup kepada pengunjung awam mulai 1 November hingga 31 Januari tahun depan, maklum Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Menurut notis di Facebook rasminya, lokasi meliputi Taman Eko Rimba Sungai Tua, Sungai Tekala, Sungai Sendat, Gunung Nuang dan Komanwel.

Agensi itu memaklumkan penutupan sebagai langkah berjaga-jaga kejadian kepala air berikutan musim tengkujuh yang boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pengunjung.

Sebelum ini, jabatan itu memaklumkan semua laluan pendakian dan aktiviti rekreasi dalam hutan simpan kekal negeri ini ditutup kepada pengunjung berikutan musim tengkujuh.

Penutupan bermula 1 November ini hingga 31 Januari tahun depan bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi dampak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu menyebabkan risiko tinggi berlakunya hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.


Pengarang :