EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim ketika mengadakan tinjauan pemasangan geo bags di Sungai Semenyih berhampiran Sungai Buah Luar, sepang pada 20 Oktober 2022. Foto SELANGORTV
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri cari kaedah tingkat ketahanan benteng ketika banjir

SEPANG, 21 OKT: Kerajaan Negeri sedang mencari penyelesaian dalam meningkatkan tahap ketahanan benteng sungai apabila berlakunya banjir besar seperti hujung tahun lalu.

EXCO Infrastruktur dan kemudahan awam berkata pihaknya meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor membuat kajian lebih lengkap untuk meninggikan lagi ban sedia ada.

“Kes sebegini ada di beberapa tempat, tapi kita buat berperingkat mengikuti keutamaan di mana kawasan yang lebih serius.

“Ban sangat panjang di Selangor, jadi tentulah penyelenggaraannya memerlukan kos yang tinggi. Jadi kita akan tengok tempat yang sentiasa runtuh,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui ketika mengadakan tinjauan pemasangan ‘geo bags’ di Sungai Semenyih berhampiran Sungai Buah Luar di sini semalam. Ban di kawasan berkenaan terjejas akibat banjir yang melanda Selangor pada Disember tahun lalu.

Beliau menjelaskan projek penambahbaikan ban ketika ini adalah daripada peruntukan kerajaan pusat berjumlah RM2.5 juta selain Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan tambahan.

“Kita tunggu dulu kajian selesai kerana kita tidak tahu berapa kos yang perlu disediakan,” katanya sambil menambah pihaknya kini dalam proses mengenal pasti pemilik tanah untuk kebenaran bagi projek berkenaan.


Pengarang :