Infrasel menurap Jalan Raja Musa, Kampung Jalan Lama Panchang Bedena, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 3 Oktober 2022. Foto Twitter Infrasel
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Negeri ganda usaha baiki jalan rosak, selesai dalam 24 jam

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat masalah jalan tetapi sekarang usaha senggaraan dilipatgandakan lagi. Daripada lebih 4,000km jalan yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, sejumlah 16,288 kes lopak diselesaikan tahun lalu.

Tahun ini pula (sehingga Jun), 11,153 masalah jalan berlubang berjaya diatasi termasuk selepas menerima aduan orang ramai. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyeru penduduk mengadu segera masalah jalan melalui Twitter dengan tanda pagar #Infrasel #namadaerah dan #namajalan.

Susulan itu, syarikat milik negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 24 jam, selain terus meningkatkan keselesaan pengguna dalam program senggaran berjadual.

Sepanjang September, beberapa jalan negeri dibaiki sebaik mendapat aduan orang ramai menerusi media sosial anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) itu.

Ia antaranya melibatkan empat lokasi di Sabak Bernam iaitu Jalan Seri Gambut, Panchang Bedena, Jalan Parit 6 Sekinchan, Jalan Sawah Ban dan Batu 53 Jalan Lama Kuala Selangor.

Turut dibaiki, dua laluan di Hulu Selangor, kedua-duanya di sepanjang Jalan Genting Highlands-Batang Kali.

Kerja pembaikan segera turut meliputi laluan di Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Shah Alam dan Jalan Selayang-Kepong, Gombak.

Selain pemantauan rutin dan aduan di media sosial, teknologi baharu turut digunakan menerusi Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar yang dilancarkan Amirudin pada 16 Mac.

Selgem Sdn Bhd (Selgem) membangunkan teknologi menggunakan kepakaran tenaga tempatan pada awal 2021 dengan menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengesanan dan perluasan cahaya (LiDAR).

Turut dilengkapi dron pintar dan kamera 360, teknologi itu merangkumi proses pengecaman kerosakan jalan seperti lubang secara automatik, pendigitalan aliran kerja dan aduan.

Tiga langkah adu jalan rosak

  • muat naik gambar di Twitter
  • guna tanda pagar #Infrasel #namadaerah dan #namajalan
  • hantar laporan

Kategori jalan

  • Lebuh raya bertol – disenggara syarikat konsesi dan diselia Lembaga Lebuhraya Malaysia
  • Jalan persekutuan – disenggara kerajaan persekutuan
  • Jalan negeri – disenggara guna dana negeri dan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)
  • Jalan lain – jalan pihak berkuasa tempatan, kampung dan pertanian

Pengarang :