Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak kepada Asari A Hamid sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri rekod pendapatan hasil RM2.065 bilion setakat ini, atasi sasaran

SABAK BERNAM, 14 OKT: Selangor mencatat pendapatan hasil sebanyak RM2.065 bilion setakat 10 Oktober lalu, mengatasi sasaran RM2.05 bilion yang ditetapkan tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perolehan itu dicapai hasil muafakat semua pihak selepas melalui tempoh mencabar susulan pandemik Covid-19.

“Ini bermakna RM15 juta lebihan diperoleh daripada hasil yang sepatutnya dicatatkan. Tahun lepas juga ada lebihan (pendapatan hasil).

“Alhamdulillah, kita berjaya mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan hasil permuafakatan ditonjolkan. Malah Selangor kekal aman dan stabil dengan pentadbiran yang prihatin,” katanya pada majlis penyerahan surat kelulusan pemberimilikan tanah (Borang 5A) kepada 73 penduduk di sini hari ini.

Selangor kekal sebagai negeri penyumbang terbesar ekonomi di negara dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM343.5 bilion tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan perolehan itu meningkat RM16.4 bilion berbanding RM327.1 bilion pada 2020.

Prestasi tersebut menyaksikan Selangor kembali pulih tahun lalu apabila merekodkan pertumbuhan 5.0 peratus berbanding pertumbuhan negatif 5.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Selangor mendahului lima negeri lain iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Sabah yang menyumbang 72.2 peratus kepada KDNK negara.


Pengarang :