Petugas kesihatan mengambil darah peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Negeri sedia bantuan RM800 bantu pesakit tibi jalani rawatan

SHAH ALAM, 2 OKT: Individu yang mengalami batuk berpanjangan lebih dari tiga minggu diiringi kahak berdarah dan susut berat badan disaran mendapatkan rawatan segera.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata individu berkenaan berkemungkinan menghidap tuberculosis (tibi) dan Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kewangan RM800.

“Kerajaan Negeri telah menyediakan inisiatif kesihatan khas rakyat Selangor iaitu bantuan kewangan RM800 bagi pesakit yang menjalani rawatan tuberkulosis

“Tibi sebenarnya boleh dijauhkan dan boleh dirawat. Pesakit yang berdisiplin dalam mengikuti nasihat dan rawatan doktor, tidak mustahil untuk komuniti maju ke arah era tanpa tibi,” tulisnya di Facebook hari ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari pautan www.selangorprihatin.com/insentifrawatantibi atau hubungi pusat panggilan 24 jam ditalian 1800-22-6600

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan program Insentif Rawatan Tibi pada tahun ini dengan menyasarkan kira-kira 2,000 pesakit tibi bakal menerima rawatan.

Insentif itu bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif itu di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat.

Bayaran insentif dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.


Pengarang :