Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kelengkapan mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi bencana selepas menghadiri program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Negeri siap sedia kemungkinan bah, belajar dari pengalaman lalu

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Selangor mengambil beberapa inisiatif selain menyediakan pelbagai kemudahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata persiapan tidak hanya tertumpu kepada sumber manusia sebaliknya meliputi peralatan menyelamat, kemudahan pusat penempatan sementara (PPS) dan pangkalan hadapan.

“Kita sudah melalui pengalaman tahun lepas yang memeritkan dan pasti ia memberi pengalaman besar dan kita banyak belajar daripada itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

“Kali ini kita bukan sahaja melakukan persediaan rutin dalam jadual Kerajaan Negeri yang biasanya dilakukan September dan Oktober untuk menghadapi banjir yang dilaksanakan setiap tahun.”

Anggota Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika mengadakan sesi latihan penyelamatan di air bertempat di Tasik Puchong Prima pada 24 September 2022. Foto Facebook MBSJ

Beliau memaklumkan sebanyak 67 agensi membabitkan 343 peserta juga selesai menjalani latihan amal dan simulasi pada 28 September untuk berdepan musibah tersebut.

Amirudin menambah Selangor mendaftar 796 PPS melibatkan sekolah, balai raya, dewan, masjid dan pusat komuniti selain menyediakan 12 pangkalan hadapan untuk menyimpan barang.

“Apa yang berlaku tahun lepas, hampir semua kemudahan kita seperti makanan, tilam tikar dan kain batik di Sungai Buloh terkepung seperti pulau yang dikelilingi air dan tidak dapat dimasuki oleh kenderaan ringan dan berat. Jadi berlaku sedikit kelewatan agihan bantuan.

“Untuk tahun ini kita sudah alihkan (barangan berkenaan) mulai bulan ini ke setiap daerah (12 lokaliti) berdekatan dengan PPS,” katanya lagi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :