AGENDANASIONAL

Nelayan didenda RM11,000 miliki bahan letupan, tangkap ikan tanpa lesen

JOHOR BAHRU, 6 OKT: Seorang nelayan warga tempatan didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk memiliki bahan letupan, April lepas.

Abdul Gafar Abdul Latif, 48, dituduh memiliki bahan letupan jenis emulex tanpa kebenaran di dalam sebuah vesel nelayan tempatan pada kedudukan 0.2 batu nautika dari Tanjung Selantai, Mersing, pada 18 April lepas.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini, lelaki berkenaan yang dijatuhi hukuman semalam, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Abdul Gafar juga didakwa menangkap ikan tanpa lesen serta memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen pada hari yang sama pada pukul 11 malam.

Pertuduhan menangkap ikan tanpa lesen mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) akta yang sama manakala memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) Akta yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Norsiah Ujang menjatuhi hukuman denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, jika gagal berbuat demikian lelaki itu boleh dipenjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan dua bulan untuk pertuduhan kedua.

Selain itu, Norsiah turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM1,000 bagi pertuduhan ketiga dan jika gagal membayarnya, boleh dipenjara satu bulan.

Mahkamah mengarahkan barang kes seperti vesel, dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor Azlan Bohari manakala Abdul Gafar tidak diwakili peguam. — BERNAMA


Pengarang :