Pelan reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam yang akan dibangunkan semula dijangka awal tahun hadapan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang ramai diajak kongsi idea bangun semula Kompleks Sukan Shah Alam

SHAH ALAM, 1 OKT: Orang ramai khususnya penduduk Selangor boleh berkongsi cadangan dan pandangan berkait pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam yang meliputi stadium negeri mulai minggu depan.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata cadangan boleh dikongsikan melalui e-mel [email protected] yang dibuka selama sebulan.

“Orang ramai boleh melihat reka bentuk kompleks yang telah dibentangkan pemaju Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) melalui laman sesawang rasmi MBI dan menghantar maklum balas menerusi emel berkenaan.

“Sebarang idea atau pandangan boleh dikemukakan secara terus melalui platform itu,” kata Norita Mohd Sidek pada sesi taklimat perkembangan pembangunan kompleks itu semalam.

Beliau juga berkata pameran awam akan dianjur sebaik sahaja selesai proses berkenaan.

“Selepas itu kita akan mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Negeri dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar berkata projek itu akan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan MRCB akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam dan syarikat itu akan dianugerahkan pertukaran tanah kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek tersebut dijangka bermula seawal tahun hadapan dengan jangkaan siap pada 2026 seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang berdekatan dengan kawasan kompleks berkenaan.


Pengarang :