Orang ramai boleh mendaftar sebagai sebagai pengikrar derma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera mulai 6 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAC: Lantikan pembangun MySejahtera tidak ikut tatacara betul

SHAH ALAM, 4 OKT: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam kenyataan mendedahkan minit atau dokumen sokongan berhubung pelantikan syarikat tersebut juga tidak wujud selain tidak teratur.

Beliau berkata konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dicadang menyebabkan kerajaan keliru dan tidak jelas hala tuju sebenar perolehan aplikasi yang dibangunkan Mac 2020.

“Konsep CSR dilihat digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya. Tiada dokumen menyatakan CSR ini bertempoh setahun.

“Kerajaan seolah-olah tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membuat keputusan untuk melantik MySJ Sdn Bhd secara rundingan terus. Pembangunan dan penggunaan berterusan aplikasi MySejahtera sepatutnya kekal bersifat CSR,” katanya.

Dapatan itu sebahagian daripada lapan rumusan PAC hasil dua prosiding yang dijalankan berhubung penmbangunan dan perolehan MySejahtera pada 14 dan 21 April lalu.

Antara saksi yang dipanggil ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu bakar dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dalam laporannya, PAC turut mendapati harga siling sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera selama dua tahun adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep CSR.

Jawatankuasa itu juga mendedahkan KPISoft masih pemilik harta intelek aplikasi tersebut meskipun kerajaan sebelum ini menegaskan ia pemilik MySejahtera.

“Setakat April 2022, kerajaan masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) MySejahtera di MyIPO yang boleh menyebabkan aplikasi ini dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi,” kata Kah Woh.

Kerajaan sebelum ini memberi jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalah guna.


Pengarang :