Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam pada sidang media di Wisma FAM pada 21 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pasukan tarik diri tidak jejas Liga Super 2023, saingan guna format baharu

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Desas-desus beberapa pasukan mahu menarik diri daripada Liga Super 2023 tidak akan menjejaskan perjalanan liga bola sepak profesional itu yang bakal dijalankan menggunakan format baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata setakat ini tiada maklumat berhubung penarikan diri beberapa pasukan seperti yang digembar-gemburkan berikutan kesemua pasukan telah menyerahkan dokumen lengkap bagi urusan pelesenan kelab tahun hadapan.

“Mengambil contoh, sebelum ini sepatutnya dalam perancangan membabitkan Liga Super, 16 pasukan akan beraksi. Jadi kalau ada satu dua pasukan tarik diri daripada liga… ia tidak mengubah perancangan MFL,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Stuart berkata sekiranya ada pasukan yang mahu menarik diri, ia keputusan pasukan itu sendiri dan adalah lebih baik mereka berbuat demikian sebelum liga bermula bagi memastikan perubahan format struktur liga pada tahun pertama dapat dilaksanakan.

“Jika mengikut garis masa, 396 dokumentasi penyertaan perlu dilakukan setiap pasukan pada 30 Sept hingga Selasa ini (11 Okt) untuk diperiksa oleh unit pelesenan,” katanya.

Stuart berkata perjumpaan bersama Jawatankuasa Pelesenan Kelab akan diadakan Selasa ini dan keputusan mengenai pasukan terima atau tidak lesen untuk 2023 dibuat keesokan harinya.

Julai lepas, MFL memaklumkan saingan Liga Super 2023 bakal berwajah baharu menerusi penstrukturan semula dalam usaha memastikan liga bola sepak profesional negara itu lebih berdaya saing dan dinamik.

Penstrukturan itu menyaksikan Liga Premier dimansuhkan dengan enam pasukan dari divisyen kedua itu bersaing di pentas Liga Super 2023 yang bakal mempunyai 18 pasukan.

Perubahan bilangan pasukan ini bakal menambahkan lagi ‘seri’ perlawanan dalam Liga Super selain pasukan yang bertanding akan menerima lebih banyak perlawanan liga dalam semusim.

Ketika ini dengan 12 pasukan bersaing, setiap pasukan Liga Super hanya mempunyai 22 perlawanan liga semusim berbanding musim depan mereka akan beraksi dalam 34 perlawanan. – BERNAMA


Pengarang :