Gandingan Pearly Tan-M Thinaah menjuarai saingan Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara menerusi kemenangan 21-19, 18-21, 21-15 pada aksi di Stade Pierre de Coubertin, Paris pada 30 Oktober 2022. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Pearly-Thinaah juara Terbuka Perancis

SHAH ALAM, 30 OKT: Gandingan Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama negara menjuarai saingan Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu menewaskan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun  21-19, 18-21, 21-15 dalam aksi di Stade Pierre de Coubertin Paris, lapor portal Berita Harian.

Sebelum ini, pencapaian terbaik beregu wanita negara pada kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1908 itu adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul naib juara pada edisi 2008.

Sebagai rekod, kejuaraan di Paris kali ini adalah gelaran kedua buat Pearly-Thinaah dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu muncul juara menyaksikan mereka berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia di Terbuka Perancis selepas kali terakhir dimenangi bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2015.


Pengarang :