Pengasas Diamond Comestics, Amran Ismail atau Putra Amaris menunjukkan produknya sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelakon Putra Amaris promosi produk, perluas jaringan di ekspo niaga

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Niat untuk berkongsi rezeki mendorong pelakon Putra Amaris, 37, mengambil bahagian buat julung kali dalam Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022.

Mempromosi pelbagai produk Diamond Cosmetics, pemilik nama lengkap Muhammad Amran Ismail menyifatkan penyertaan dalam ekspo empat hari sebagai platform memperluas jaringan perniagaan.

“Alhamdulillah, rezeki dapat buka gerai pameran di acara besar seperti ini. Rasa kekok itu tiada memandangkan sudah biasa sertai jerayawara seluruh negara tetapi SIBS benda baharu buat kami.

“Jadi ini antara gerak kerja kami untuk kongsi manfaat dan rezeki. Mungkin ramai yang perasan sebenarnya saya bersama pasukan giat melakukan program infaq kebajikan.

“Oleh sebab itu saya memerlukan sokongan orang ramai termasuk rakan-rakan supaya lebih ramai dapat dibantu,” katanya ketika ditemui Selangorkini semalam.

Pelakon yang popular menerusi drama Siti Kelembai mengakui sambutan pengunjung ke reruai Amaris sangat luar biasa terutama bagi mendapatkan produk teh ceylon campuran madu, manjakani dan pueraria lobata.

Menurut anak seni kelahiran Felda Ulu Tebrau, Johor produk berkenaan mempunyai banyak kelebihan antaranya menurunkan berat badan, mengawal hormon, anti barah serta melancarkan sistem penghadaman.

“Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, orang ramai mudah demam. Jika minum teh ini, insya-Allah boleh sembuh dengan izinNya,” katanya.


Pengarang :