Mendiang Rajes Perumal. Foto Facebook PJ City FC
AGENDA SUKANKINI

Pemain PJ City FC meninggal dunia selepas terlibat kemalangan pagi tadi

SHAH ALAM, 17 OKT: Pemain pertahanan kanan PJ City FC, Rajes Perumal meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan pasukannya menerusi kenyataan rasmi yang disiarkan di laman sosial Facebook.

“Salam takziah buat keluarga mendiang Rajesh Perumal, pemain PJ City FC yang meninggal dunia awal pagi ini.

“Semoga keluarga mendiang tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” tulisnya.

Sementara itu, rakan sepasukan mendiang S. Subramaniam memaklumkan Rajes terlibat dalam kemalangan motorsikal di Batu Caves, Gombak.

Subramaniam turut mengesa orang ramai untuk menjaga sensitiviti keluarga mendiang dengan tidak menyebarkan gambar kemalangan berkenaan.

“Sahabat saya Rajes Perumal, pemain bola sepak Liga Super PJ city FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves.

“Mohon jangan sebarkan gambar- gambar kemalangan beliau di media sosial dan whatsapp demi menjaga sensitiviti keluarga dan rakan- rakan beliau,” tulisnya di laman facebook.

Rajes antara tonggak kesebelasan utama PJ City dengan kali terakhir beraksi dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) pada 15 Oktober lalu.

Sebelum ini, mendiang pernah beraksi bersama PKNS FC selama tiga tahun sejak 2011 dan kemudiannya menyarung jersi Kedah pada 2015 serta membantu pasukan Sang Kenari menjuarai Liga Premier tahun sama.


Pengarang :