AGENDAJENAYAH

Pemandu lori terbabit kemalangan sebabkan kematian tiga sekeluarga direman

MELAKA, 29 OKT: Seorang pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengakibatkan tiga sekeluarga maut di KM216 arah utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Jejantas Ayer Keroh semalam, direman tiga hari bermula hari ini hingga Isnin ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Syarina Shaarani @ Tan terhadap lelaki berusia 43 tahun itu.

Semalam, dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori kira-kira pukul 11 pagi, mengorbankan tiga beranak, Zubaidah Abd Rajak dan suami Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, masing-masing berusia 28 tahun serta anak tunggal mereka, Muhammad Rizqi yang baharu berumur setahun.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan pembahagi jalan, telah berhenti di lorong paling kanan dan sedang dalam proses meletakkan kon apabila kereta dipandu Muhammad Nazirul Syafiq yang datang dari arah belakang, melanggar lori berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :