Seorang wanita rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil pada 22 Oktober 2022. Foto ihsan JBPM Kuala Lumpur
AGENDANASIONAL

Pemandu wanita rentung kereta terbakar kemalangan

SHAH ALAM 22, OKT: Seorang wanita rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera manakala tiga lagi penumpang wanita terselamat, lapor portal Berita Harian.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khairuddin Abdurrahman berkata pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.14 pagi.

Susulan itu, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil serta BBP Pudu dengan kekuatan 17 anggota dihantar ke lokasi.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan terbakar berpunca daripada kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Pasukan segera memadamkan kebakaran. Kereta itu musnah terbakar 100 peratus dan seorang wanita ditemui rentung di bahagian pemandu.

“Seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera di bahagian kepala, manakala tiga lagi penumpang wanita selamat. Pemandu kereta Proton Saga juga dilaporkan tiada mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Pengarang :