Foto Facebook MPHuluSelangor
PBTSELANGOR

Pembaharuan lesen niaga MPHS bagi 2023 bermula 1 Oktober

SHAH ALAM, 3 OKT: Pemilik lesen perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) boleh memperbaharui permit bagi 2023 bermula 1 Oktober hingga 31 Disember.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pembaharuan boleh dibuat di Jabatan Pelesenan MPHS atau secara dalam talian melalui laman sesawang Smart Selangor https://www.smartselangor.com.my/my-account/ .

“Dokumen perlu dibawa ialah lesen perniagaan tahun ini, salinan sijil suntik anti-typhoid (bagi premis makanan sahaja) dan salinan bayaran bil permit sementara bangunan atau binaan yang dikeluarkan Jabatan Bangunan.

“Pemegang lesen juga perlu membawa surat lantikan kontraktor pengurusan sisa pepejal dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilantik bagi kilang perindustrian,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, jelas MPHS, pembaharuan lesen hiburan, berisiko, pusat kesihatan, pusat siber, lesen sementara, permit sementara berniaga, permit kaki lima dan lesen anjing tidak boleh dibuat secara dalam talian.

PBT itu juga memaklumkan kegagalan mana-mana pemegang lesen berbuat demikian mengikut tempoh ditetapkan bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-60641331 atau sambungan 159/160 untuk sebarang pertanyaan.


Pengarang :