EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kanan) mengadakan lawatan ke kawasan pengukuhan tebing dan pembinaan ban Sungai Kuyoh di Taman Kinrara, Puchong pada 20 Oktober 2022. Foto ihsan Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Pembinaan ban Sungai Kuyoh atasi banjir di Taman Kinrara

SHAH ALAM, 21 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Petaling menjalankan projek pengukuhan tebing dan pembinaan ban Sungai Kuyoh bernilai RM1.1 juta di Taman Kinrara Seksyen 1, Puchong dekat sini.

EXCO kerajaan tempatan berkata usaha dilakukan jabatan itu adalah sebahagian projek mitigasi di kawasan tersebut yang pernah dilanda banjir pada Disember 2021 dan Mac lalu.

“Projek pengukuhan tebing dan pembinaan ban sungai setinggi 2 meter dan sepanjang 300 meter telah siap sepenuhnya pada 21 September.

“Diharapkan ia dapat membantu mengelak limpahan air Sungai Kuyoh ke kawasan Taman Kinrara semasa hujan lebat,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JPS Kuala Lumpur turut bertindak membersih dan mendalamkan kawasan tadahan air di hulu kawasan Taman Kinrara iaitu Kolam Bohol yang disiapkan pada Jun lalu.

“Hasil pedalaman kolam itu membantu menampung taburan air hujan semasa hujan lebat beberapa bulan lalu sekali gus mengelak kejadian banjir kilat di Taman Kinrara daripada berulang,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya merakamkan penghargaan kepada JPS Petaling, DBKL dan JPS Kuala Lumpur kerana menyiapkan projek berkaitan sebelum tiba musim hujan atau Monsun Timur Laut.


Pengarang :