Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurul Syazana Johar menunjukkan aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang di Pusat Pemborong GM Klang, Klang pada 25 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemborong, usahawan teroka peluang keusahawanan menerusi aplikasi

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 25 OKT: Pemborong dan usahawan terutama sekitar Selangor kini boleh meneroka peluang keusahawanan dengan lebih mudah serta pantas menerusi aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif terkini Pusat Borong GM Klang yang membangunkan aplikasi itu selari matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Pendigitalan dalam bisnes pada zaman sekarang adalah sangat penting supaya perniagaan terus berdaya saing dan kekal relevan.

“Pendigitalan perniagaan terbukti telah mencipta peluang perniagaan dengan lebih banyak sekaligus menyumbang kepada kestabilan ekonomi komunitinya,” kata Rodziah Ismail selepas melancarkan aplikasi berkenaan di sini hari ini.

Aplikasi yang boleh dimuat turun melalui App Store atau Google Play itu memberi kemudahan dan peluang keusahawanan dengan lebih mudah dan pantas kepada pengguna.

Dengan ciri khas padanan perniagaan ia menghubungkan usahawan atau mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan dengan lebih 700 pemborong di GM Klang untuk mengenalpasti pemborong dan produk yang sesuai dengan perniagaan mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata antara kemudahan yang boleh dinikmati pengguna aplikasi berkenaan termasuklah tetapan temujanji dengan pemborong bersesuaian selain studio khas bagi tujuan promosi, pengiklanan atau ‘live stream’.


Pengarang :