Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan tutup kes Siti Bainun, keputusan 24 November

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, hari ini menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bahawa pihaknya menutup kes selepas juruteknik syarikat penapis air Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan.

“Dengan berakhirnya keterangan saksi pendakwaan ke-22, pihak pendakwaan menutup kes hari ini,” katanya.

Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Izralizam kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 18 November sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pendakwaan pada 24 November ini sama ada membebaskan Siti Bainun atau memerintahkan tertuduh membela diri.

Nor Azizah turut memaklumkan bahawa pendakwaan telah menawarkan 15 saksi kepada pembelaan antaranya bekas penghuni Rumah Bonda dan rakan Siti Bainun sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Pada prosiding hari ini, Siti Bainun diwakili peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif.

Turut hadir Datuk Khairul Anwar Rahmat yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan media, barisan peguam pemerhati hari ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran perbicaraan kes tersebut.

“Kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap prosiding mahkamah dan berharap keadilan akan dapat ditegakkan buat anakanda Bella pada akhir kes ini dan kejadian yang menimpa Bella ini tidak boleh dibenarkan berlaku lagi dalam masyarakat kita,” menurut kenyataan itu.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lepas dan antara saksi pendakwaan ialah Bella, bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :