Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Jeram di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk mahu Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan, dapat jimat belanja dapur

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Jelajah Ehsan Rakyat bermula awal September yang menjual barangan asas menjadi pilihan rakyat kerana menawarkan harga rendah dari pasaran.

Suri rumah Ng Chiew Hiong,63, berkata program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi kesan besar kepada keluarganya kerana dapat mengurangkan kos belanja bulanan.

“Semua barang dijual murah. Saya beli ayam, telur, daging, beras dan minyak masak hanya RM80. Kalau di luar, mungkin lebih daripada RM100.

Ng Chiew Hiong, 63. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Barang jualan juga segar dan berkualiti. Tak jumpa lagi program yang jual pada harga ini. Jualan ini baik dan patut diteruskan untuk ringankan beban rakyat,” katanya ditemui di Dewan MDKS Desa Coalfield di sini hari ini.

Sementara itu, pesara Wan Razali Wan Ismail,67, berkata program itu membolehkan penduduk menjimatkan kos belanja bulanan.

“Sekarang banyak barang naik harga. Jika program ini diadakan, penduduk akan dapat berjimat dan bantu mereka kurangkan belanja.

“Kalau boleh iklan mengenai program dibuat lebih kerap supaya ramai lagi terima manfaat,” katanya.

Wan Razali Wan Ismail, 67. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif berkenaan menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :